Saturday, November 26, 2016

Salesperson yang menjengkelkan. Cara korang nak jadi salesperson yang baik.

Aku ni tulis kali ni sebab menyampah cara salesperson melayan bakal pelanggan. Samada terus tanya nak beli apa atau tak nak tanya terus. Kedua-duanya aku menyampah. Memang aku tinggalkan je kedai tu.

Ini tips mengikut aturan yang boleh korang ikut. Dengan syarat utama, jangan tanya pelanggan atau jangan buat pelanggan berfikir untuk menjawab soalan anda.

1. Jika pelanggan masuk ke kedai, ucapan salam atau selamat pagi atau selamat sejahtera dengan satu senyuman.

2. Dalam 7 saat seterusnya, pergi kepada pelanggan dan beritahu apa anda dalam kedai anda. Kalau ada ruang dalam atau barang promosi, bagi tahu maklumat itu sekadar segera. Ingat! 7 saat! Tak lebih. Tak kurang. Ini masa yang amat berharga untuk mengekalkan bakal pelanggan dalam kedai. Akhiri dengan "terima kasih".

3. Jangan perhatikan pelanggan. Pelanggan tak suka.

4. 5 saat seterusnya, pergi hampir kepada pelanggan sambil buat-buat menyusun barang yang hampir kepada pelanggan. Jangan buat-buat lap habuk. Nampak sangat ko ada niat lain. Buat-buat susun barang, letak barang baru. Atau kalau nak mengalihkan barang pun, lalu dekat dia. Ini untuk memudahkan dia bertanya dan mengelakkan kecurian secara tidak langsung.

5. Dalam situasi ini, jika pelanggan ingin bertanya, anda sudah hampir padanya. Buat pelanggan bertanya dan bukan salesperson yang bertanya.

Dengan cara ini, memberi keselesaan pelanggan di dalam kedai kita, boleh la pelanggan kekal di dalam kedai supaya mereka dapat melihat segala maklumat produk jualan tanpa kita menawarkan kepada mereka secara direct dan kurang selesa.

Saturday, November 5, 2016

Analogi penyelesaian pembekalan air mengikut fahaman.

Al kisah di zaman Nabi, berlaku satu kisah di mana penduduk Islam Madinah membeli air dari perigi Rom yang dipunyai oleh seorang Yahudi. Kasihan dengan penduduk Madinah yang miskin, Saidina Abu Bakar meminta Saidina Uthman menyelesaikan masalah ini. Apakah seorang itu akan lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

1. Komunis: Rampas pergi dari Yahudi dan buka perigi tersebut untuk semua orang.

2. Demokrasi: Beli perigi dari Yahudi dan jual air pada penduduk.

3. Kapitalis: Beli air dari Yahudi dan jual semula pada penduduk.

4. Islam: Beli perigi dari Yahudi dan beri air percuma pada penduduk.

5. Demokrasi Malaysia: Beli perigi dari Yahudi. Bagi air percuma selama sebulan dan jual air selepas sebulan. Cukup tahun naikkan harga air. Potongan harga time raya. Kalau penduduk tak suka, minta penduduk gali perigi sendiri. Hehehehehehe.

Wednesday, August 10, 2016

Jangan salahkan di atas, kalau di bawah pun tak betul.

Cerita ni terlalu panjang nak dicerita. Tapi aku bagi cerita pendek dan bagi pencerahan apa yang kelakar.

Selepas berdekad-dekad, tanah pusaka atok aku hendak diselesaikan. Bila nak diselesaikan secara faraid, ada yang cadang pada hakim, 210 nama diletakkan dalam semua geran tanah yang ada. Hakim tolak sebab sukar dibuat.

Maka, mereka cadangkan untuk tubuhkan koperasi dan meletakkan nama koperasi di atas semua geran. Keuntungan koperasi ini akan diagih mengikut keputusan faraid.

Di sini, aku dah nampak ada benda yang tak betul. Macam mana nanti kalau orang tak memiliki saham boleh mendapat untung? Bagaimana pula orang yang membeli saham koperasi? Bagaimana orang yang nak menambah saham? Adakah mereka terikat dengan pembahagian mengikut faraid? Aku tak boleh nak tanya sebab dah kena marah pasal isu lain. Aku biarkan dahulu persoalan ini.

Tetapi bebaru ni, saudara-saudara aku mengumumkan bahawa mereka berjaya membuka akaun bank untuk kumpulan waris kami. Aku rasa pelik, bagaimana akaun ini boleh dibuka atas nama persatuan yang masih tidak berdaftar dengan ROC? Tapi yang aku tahu akaun ini dibuka oleh seorang saudara aku yang bekerja sebagai pengurus di salah sebuah bank. Dengan alasan, dia membuka akaun ini untuk "memendekkan cara". Aku sedar, cara ini salah. Selepas Bank Negara menetapkan beberapa syarat dan peraturan baru bagi mengekang pembersihan duit haram dan akaun digunakan untuk terroris, sepatutnya dia sedar akan perkara ini. Walaupun bukan sebab jenayah, membuka akaun bank dengan dokumen pengenalan tidak sah adalah tetap salah.

Maka, kami akan membuka satu majlis perjumpaan keluarga. Semua yang hadir diminta untuk memasukan wang kemasukan dalam akaun ini. Tapi masing-masing tidak berjaya memasukan dalam akaun ini termasuk aku. Aku cakap dalam group waris, bila masukkan nombor akaun di mesin tunai, ada peringatan, "akaun yang dipilih tidak dijumpai.". Terus kecoh.

Aku tahu, akaun itu telah dibekukan, agaknya. Hehehehe. Ntah berapa ribu la yang beku kat dalam tu.

Sampai la seorang saudara aku, bagi warning.

"Jangan dipertikai di mana akaun ini dibuka dan apa terjadi kepada akaun ini. AJK telah bersusah payah untuk membangunkan "persatuan" ini dan patut dihargai. Jangan menyusahkan orang lain."

Sungguh klasik peringatan ini. Berlaku dalam kehidupan orang Melayu dan politik.

Bila tersepit, bila dipertikai yang benar dan macam-macam lagi, melayu cuba mengugut bangsanya sendiri.

Saturday, July 2, 2016

Fallen.

My fall will be for you
My love will be in you
If you be the one to cut me
I will bleed forever

Thursday, June 30, 2016

Bangsaku, tingkatkan mutu kerja.

Aku ni, bukan baik sangat dalam alam pekerjaan.

Aku ni terlalu lurus orangnya. Tapi selepas lebih 10 tahun bekerja, aku rasa aku baru matang dalam umur 40 tahun.

Dan pandai lawan cakap boss. Hehhehe. Tapi dengan cara berhemah la. Maksud aku, kalau tak betul, aku cuba terangkan apa tak betul. Apa boleh buat. Macam mana nak selesaikan masalah.

Nak kira sekarang, kerja aku dah mudah walaupun sebenarnya, tanggungjawab makin besar. Kalau dulu, kerja aku mengadap user. Tapi kali ini, aku tak mengadap user. Mengadap kes-kes besar, buat study, analisis, cari penyebab, cari penyelesaian dan cadangkan.

Aku ni, lulusan diploma elektronik. So, faham-faham saja la taraf pemikiran aku. Kerja pulak dalam bidang komputer di mana tak ramai orang elektrik masuk.

Aku masuk sebab aku suka. Benda komputer ni, aku belajar sendiri. Yes. Macam budak sekolah baru kenal komputer. Setakat install game dan sofware, tweak sana sini, tu kira hebat la. Kalau orang yang berbakat macam ni, sure dapat kerja sebagai technician computer.

Aku tak. Aku cuba menguasainya. Takde la aku nak berlagak. Tapi dah sifat aku mencari selagi boleh ilmu dan apa-apa yang aku tak faham.

Dipendekkan cerita, aku menugaskan beberapa orang supaya membuat satu kaji selidik berkenaan komputer baru.

Ada sorang ni, bagi borang kajiselidik bersama kata-kata yang agak menyedihkan.

"Minta maaf. Ini sahaja yang saya dapat. Berkenaan dengan security baseline tu, saya bukan pakar untuk membuatnya. Lagi pun saya terlalu banyak incident untuk saya buat."

Ya Tuhan. Aku pun banyak kerja nak buat. Tapi security baseline tu, aku google je, dah tau kat mana nak setting.


Adakah ini taraf staff dalam company 500 fortune?

Wednesday, June 15, 2016

Fitrah manusia.

Aku takmo cerita pasal agama, sebab blog ni bukan pasal agama. Tapi nak cerita yang mungkin dapat memberi iktibar pada umat Islam di Malaysia ni.

9 Jun lepas, genap setahun kawan aku meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan. Aku bagi nama Karim (bukan nama sebenar). Pendekkan cerita, beberapa bulan sebelum itu, ada satu cerita berkenaan kawan aku ni. Semasa nak menunaikan solat Zuhur dalam bilik dia di pejabat, didapati sejadahnya hilang. Puas dia mencari, tak jumpa.

Tak sampai 5 minit, datang seorang kawan berbangsa India (Hindu) masuk bilik dengan membawa sejadah Karim.

"Sorry Bro. Aku pinjam sejadah ko."

Kawan aku balas, "Eh takpa la. Tapi aku nak tanya. Ko sembahyang ke?"

"Aku nak belajar sembahyang."

"Oooo...."

Selepas tu, kawan aku tu bersembang dengan kawan India tu. Aku tak tau la detailnya. Tapi pada masa itu ada rumour yang dia akan memeluk Islam.

Beberapa minggu selepas kematian kawan aku si Karim, masuk bulan puasa. 1 Ramadan kawan India tu masuk Islam. Alhamdulillah. Diberi nama Kassim (bukan nama sebenar).

Tak lama selepas itu, diadakan majlis ceramah dengan saudara baru di pejabat aku untuk mengetahui bagaimana Kassim boleh terbuka hati untuk memeluk Islam.

Sebab utama yang membukakan hati Kassim untuk memeluk Islam,

"Saya tahu setiap agama, ada penganutnya yang baik dan jahat. Selama saya bekerja di sini, saya tidak pernah didakwah (tarbiah) untuk menerima Islam. Tapi selama saya bekerja di sini, saya bersama orang yang baik-baik, sentiasa menghormati saya walaupun beragama lain, bersopan santun dan bercakap perkara-perkara yang baik. Tuan-tuan juga selalu mengingatkan saya supaya sentiasa jujur dalam hidup. Dan tidak seorang pun cuba berdakwah kepada saya. Itu menyebabkan saya terbuka untuk memeluk Islam."

Aku ni, bukan la baik sangat. Solat pun kadang-kadang tak penuh. Disebabkan macam tu la, ada kawan-kawan alim ni sindir,

"Tak guna cakap benda-benda baik. Berdakwah pun tak pernah."

Tapi saudara baru ni, semua peluk Islam bukan sebab dakwah tapi tingkah laku kita.

Sikap kita pun kira dakwah la juga.

So, jangan optimis sangat.

Thursday, June 2, 2016

Bila datang dari yang baik, semestinya "baik".

Tinggal beberapa hari lagi nak puasa. Orang mula buat amalan persiapan nak berpuasa. Termasuklah meminta maaf berdasarkan hadis yang takde perawi, sanat or whatever.

Doa Jibrail menjelang ramadhan:-
"Ya Allah, abaikan puasa umat Muhammad jika sebelum masuk ramadhan dia tidak melakukan 3 hal ini:
1.Tidak minta maaf kepada kedua orang tua.
2.Tidak bermaafan dengan sahabat sahabatnya.
3.Tidak bermaafan dengan orang sekitarnya." maka, Rasullullah pun mengaminkannya sebanyak 3kali.   
Dengan ini, saya ingin memohon maaf jika ada salah dan silap yang telah dilakukan sebelum sebelum ini. Minta maaf kalau ada terkasar bahasa, menyinggung atau mengguris hati. Yang terambil dan yang termakan mohon halalkan. Mohon ampun dan maaf sekali lagi daripada saya.

(PERHATIAN: HADIS DI ATAS ADALAH PALSU. HANYA UNTUK BUKTI SAHAJA)

Aku agak muyskil dengan kesahihan hadis ni. Terus aku google, dan jumpa penerangan hadis ini. Mungkin penerangan ini palsu juga. Aku tidak cukup pakar untuk mengesahkannya.

Tapi apa yang pasti, sebagai orang Islam yang beriman, perkara yang meragukan mesti ditinggalkan seperti meninggalkan yang buruk sehingga terbukti sebaliknya. Dan hanya menerima yang pasti.

Aku tak tau la saudara aku yang share hadis tu dalam whatapps group tu sentap ke tidak dengan penerangan aku. Dia senyap seribu bahasa. Tetapi aku dah bagi tahu, aku minta maaf memberi komen sebab aku tidak berapa suka maklumat palsu yang dianggap baik dan betul tapi sebenarnya palsu.

Kalau dia mempertikaikan kelayakkan aku, aku hanya ada 2 modal untuk menjawab balik.

1. Kalau ada anak orang bermain di tepi lubuk, aku akan biarkan dia bermain sampai jatuh ke dalam lubuk. Sebenarnya aku, orang bukan pakar dalam bidang "lubuk dan sungai". Semestinya aku tak guna ayat ini hehehehe.

2. Kerja aku memerlukan aku mengadap internet lebih 12 jam sehari dan lakukannya setiap hari. Semestinya macam-macam perkara aku boleh jumpa dengan sekali klik bergantung apa yang kita fikir.

Terhadnya kita berfikir, terhad juga carian kita di internet. Jika luas fikiran kita, luas juga carian kita. Ambil contoh, seorang yang berumur pencen, 50 tahun yang tahu menggunakan internet dengan hanya membuka laman politik, sepanjang umur pencennya agak kagum bila baru tahu boleh beli barang dalam talian. Sepatutnya, dia mengetahuinya tempoh hampir sama dengan dia mengetahui laman politik.

Tempoh aku mengadap internet, aku membaca, mengkaji, berfikir, bersimulasi dan macam-macam lagi terhadap semua jenis kandungan. Dari politik ke agama. Dari sejarah ke sains. Dari lucah ke tidak lucah. Dari hiburan dan ilmiah. Semua aku baca.

Dari satu, aku dapat banyak kesimpulan yang secara amnya, bukanlah sama seperti orang lain fikirkan. Salah satu kesimpulan, mudahnya orang kita menerima perkara yang baik yang sebenarnya palsu.

Dari whatapps group yang sama, ada saudara aku yang mengongsi kenaikan harga minyak yang akan diwartakan esok harinya, di mana kenaikannya sebanyak 20 sen.

Aku cuba memperbetulkan dia bahawa harga kenaikan sebenar adalah 10 sen. Dia menjawab, "Yeke? Anak saudara saya baru je forward mesej ni, takkan la tak betul?!!"

Aku gelak dalam hati. Hanya kerana dia mengetahui bahawa anak saudaranya seorang yang jujur, dia menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh anak saudara dia? Adakah dia tahu kemungkinan anak saudaranya yang jujur itu tidak tahu membezakan mana satu benar dan mana satu salah?

Kalau dia hanya mengetahui aku bekerja di syarikat oil and gas, semestinya aku tahu harga kenaikan sebenar? Silap. Staff syarikat ini pun tak mengetahui.

Tapi dia tidak mengetahui, wife aku memiliki stesen minyak yang akan menerima mesej kenaikan minyak dari trade manager antara pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam. Ok. Itu maklumat pasti.

Thursday, May 19, 2016

Cara meletakkan kereta, menunjukkan bagaimana tuannya menyelesaikan masalah.

Aku bukan nak komplen pasal isteri aku. Dia adalah terbaik dalam hidup aku. Dia seorang businesswoman yang aku kagumi. Masalah mula timbul selepas perniagaannya mengalami kerugian 3 tahun berturut-turut.

Pada satu hari, aku balik dari kerja. Sampai di laman rumah, kereta isteri masih di depan pagar. Tidak dimasukan dalam ruang parkir. Sebenarnya, sudah banyak kali dia buat macam ni. Aku tidak ada apa-apa masalah.

Aku akan telefon dia. Minta dia alihkan kereta dia supaya kereta aku boleh masuk. Dia akan turun ke bawah, pakai tudungnya, ambil kunci pintu dan kereta dia. Buka pagar sebelah tapi pagar sebelah lagi sangkut pada kereta dia. Dia akan alih sedikit keretanya bagi ruang buka pintu pagar. Lepas buka, dia akan masuk lagi ke keretanya dan bagi ruang kereta aku nak masuk. Oh! Banyak betul task kena buat hanya nak bagi kereta aku masuk ke parkir.

Perkara ni dah berulang banyak kali. Aku kesian tengok dia buat tu semua. Muka nampak stress. Maka, semalam bila berlaku lagi, aku tanya,

"You tak stress ke bukak gate, alih kereta, buka gate balik, dan alih kereta lagi. Kenapa tak awal you sampai, masukan kereta terus. Biarkan gate terbuka kalau dah penat sangat?"

Dia jawab, "Takde la. Tak stress pun. Petang tadi I sampai rumah, cuaca panas. Sebab tu I tinggalkan kereta kat luar."

Itu jawapan dia.Cuba kalau aku telefon masa dia tengah ada masalah besar, dah tentunya dia yang kelam kabut nak buat tu semua. Semestinya stress lepas tu. Pernah sekali, pintu pagar tu tercabut dari railnya sebab dihempasnya.

Dia lebih pentingkan masalah "panas" sekarang dari mendahulukan yang perlu supaya tidak menyusahkan dirinya pada masa akan datang. Do you know what I mean?

Macam tu la juga dia menyelesaikan masalah perniagaannya.


Tiga tahun lepas, perniagaan isteri mengalami masalah disebabkan masalah birokrasi main company dan ekonomi yang tak menentu sehingga hari ini. Semua orang termasuk bisnesman merasai masalah ini. Aku bukan lah pandai bab ni. Tapi aku kesian tengok dia stress memanjang.

Sampai dia mendapat satu idea untuk keluar dari bisnes ni dan buat bisnes lain. Yang menjadi masalah adalah bisnes baru memerlukan modal yang buat masa tu, memang takde.

Pelan asal adalah meminjam dari bank sebanyak RM500 000. Fund sedikit dalam bisnes sekarang dan fund sedikit dalam beberapa bisnes baru. Termasuk membayar hutang-hutang kecik lain. Aku tak berapa setuju sebab pembayaran bulan agak besar. Dengan beranggapan bisnes baru fail, kemungkinan pembayaran bulanan tak dapat dibayar. Atau pulangannya terlalu rendah.

Dia memberi jaminan bisnes baru akan memberi pulangan. Kedai asal pun boleh bantu membayar pinjaman tu. Insyallah, katanya. Kena yakin. Jaminan yang aku sendiri ragu-ragu bukan mendoakan tapi gambaran yang baik langsung tidak ada.


Aku tidak setuju. Aku merasakan ada cara lain yang lebih komprehensif. Aku tahu, kalau aku tak setuju, dia akan rasa tidak puas hati. Merajuk bagai. Maka, aku bagi cadangan, pinjam sekadar perlu dan mampu bayar walaupun dalam keadaan terdesak. RM200 000?, RM100 000? mungkin?

Tiba-tiba, satu hari dia cakap dia dah pinjam dan dapat RM500 000. Pihak bank bagi tahu, buat pinjamam semaksimum yang layak sebab tahun depan, akan lebih ketat nak mohon.

Bank pun celaka juga. Ayat marketing dia dah mempengaruhi isteri aku. Aku terduduk dan berfikir yang buruk-buruk sahaja. Maka, dah tenang tu, aku cakap, "Teruskan la pelan you, kalau you rasa mampu menjana pendapatan dan keluar dari bisnes pertama tu. I bantu la mana mampu."

Maka, hutang ini, termasuk hutang 3 buah rumah atas nama dia dan beberapa pinjaman lagi, berjumlah kira-kira RM1.5 juta.


Nak dipendekkan cerita, bisnes kedua dan ketiga gagal selepas melabur dengan duit pinjaman lebih dari RM100 000. Selebihnya masuk dalam bisnes pertama yang hidup segan, mati tak mahu. Walaupun pendapatannya sedikit tetapi hanya ini saja yang mampu membayar semua hutang-hutang dan pinjaman yang ada. Maka, isteri aku dalam logiknya, tidak mempunyai gaji.

Ditambahkan lagi kerenah birokasi dari main company, peningkatan sewa kedai dan kos makin menyesakkan lagi modal operasi bisnes.

Jika pinjaman RM500 000 tidak dibuat, cuba fikirkan adakah masalah di atas akan timbul? Ya, akan timbul tapi masih boleh dikawal. Gaji dia, walaupun tak banyak, tapi masih ada. Bukan zero.


Aku tidak boleh nak nasihat sebab aku tak pandai. Dan beberapa ketika, dia mengadu masalah dia, aku bagi cadangan pun, dia tolak mentah-mentah. Sampai satu hari, kawan dia bagi tahu cadangan pada masalah tu, yang sama macam aku cakap, dia ikut pulak. Which is aku sedikit kecik hati nak bagi apa-apa cadangan lagi.

Dan aku kehilangan RM12 000 dari ASB kepada isteri aku yang dijanjikan paling lewat akan dipulangkan dalam masa 6 bulan. Sekarang dah nak masuk 2 tahun. Aku bukan berkira. Duit itu je yang aku ada nak guna untuk emergency. Nak major repair kereta aku, kereta dia, rumah dia bumbung bocor, yuran tahunan anak dan apa-apa yang memerlukan duit banyak dalam kadar segera. Sekarang, aku hanya ada modal RM8 000 dalam ASB. Aku berkeras tidak akan bagi pinjam lagi. Tapi aku janji, akan cover makan minum, barang dapur dan repair kereta dia selagi aku mampu.

Dan aku daftar masuk koperasi senyap-senyap sebab aku takmo dia tahu aku boleh buat pinjaman segera.


Aku bukan lokek. Tapi kalau dia gagal dalam bisnes, jangan drag aku sama. Sekurang-kurangnya, aku boleh mampu bagi dia makan dan bantu mengikut tanggungjawab aku selagi mampu.

Kesimpulannya, tidak kira lelaki atau perempuan, kalau ada masalah, jangan fikir nak selesaikan masalah depan mata saja. Tutup juga kemungkinan-kemungkinan masalah yang mungkin akan timbul. Korek lubang, tutup lubang pun tak boleh.

Sunday, February 28, 2016

Pengajaran prestasi buruk Dilwale di India.

Berlaku beberapa bulan lepas di utara India, seorang tukang besi Muslim berumur 50 tahun telah dipukul sekumpulan penganut Hindu sehingga mati. Muhammad Akhlaq bersama seorang anaknya telah diheret keluar dari rumah dan dipukul setelah tersebarnya berita angin di kuil berhampiran bahawa mangsatelah menyembelih seekor lembu untuk hidangan keluarganya. Anak mangsa bagaimana pun selamat dalam keadaan kritikal.

Seorang lagi anak mangsa selamat kerana dikatakan berada tidak berada di rumah dan sedang bekerja sebagai juruteknik penerbangan angkatan tentera India.

Insiden ini mendapat liputan meluas di India sehingga Shah Rukh Khan memberi komen. Beliau amat tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh pelampau Hindu itu dan mengatakan mangsa mempunyai hak untuk memakan daging lembu kerana agamanya. Beliau juga berkata hak beragama setiap orang perlu dihormati. Beliau tidak menyokong sebarang ketidakadilan toleransi melampau lebih-lebih lagi dalam agama. Adalah agak pelik keingingan memakan daging menjadi isu besar.

Komen Shah Rukh Khan ini pada mula mendapat sokongan di kalangan penggerak industri filem India, penulis, ahli perniagaan dan sejarawan India. Mereka semua menentang tindakan melampau dalam insiden ini.

Tindakan Shah Rukh Khan dan golongan professional ini sedikit sebanyak menyebabkan prestasi tayangan filem Dilwale agak perlahan. Dan dikatakan lebih teruk kutipannya berbanding tayangan di Jerman dan Austria. Penganut Hindu mula membakar poster Dilwale dan memboikot penayangan filem tersebut. Ini mengebabkan beberapa panggung di beberapa negeri ditutup sementara atau tidak menayangkan filem Dilwale.

Dalam laporan BBC News, Shah Rukh Khan tidak akan meminta maaf di atas komennya tetapi sesal dengan apa yang berlaku pada filem Dilwale. Dalam tweet beliau juga berkata, menjadi pelampau agama dan tidak menjadi sekular di India adalah satu tindakan yang tidak patriotik.

Siasatan polis dan kajian DNA yang dijalankan terhadap daging yang masih tersimpan dalam petisejuk Muhammad Akhlaq didapati dagind tersebut adalah daging kambing. Laporan telah dibuat oleh isteri dan anak perempuan mangsa serta mengecam identiti 10 penyerang. Polis telah menangkap 6 daripadanya dan akan didakwa.

PENGAJARAN

Insiden seperti ini boleh berlaku di mana-mana. Berita angin boleh tersebar dengan pantas dari kuil, masjid, tokong dan gereja.

Sebagai tempat suci, sebarang berita disampaikan dianggap sebagai benar walau sebenarnya palsu.

Bila agama gagal mengamankan keadaan, ianya dilihat buruk oleh bukan penganutnya.

Provokasi dan melampau disebabkan prinsip "Holier than thou".