Sunday, February 13, 2022

Anger management

 Dalam pemerhatian seumur hidup ini, rakyat kita ini mempunyai masalah mengawal marah. Lebih-lebih lagi membangkitkan kemarahan kalau melibatkan maruah, agama, bangsa, keturunan dan macam-macam lagi yang melibatkan harga diri. Semuanya atas dasar semua benda ini tidak boleh disentuh, dipermainkan dan terlalu sensitif. Semua perlu dibalas. Semua perlu diperjuangkan tanpa fikir panjang dan waras.

Tanpa mereka sedar, apa yang diperjuangkan merugikan diri sendiri dan pihak yang mereka pertahankan.

Bagi aku, kalau ada isu yang sensitif dibangkitkan, perlulah bersabar, berfikiran terbuka, fahami isu dan fakta, tolak fakta andaian dan tanpa bukti dan rancangkan penyelesaian yang komprehensif. Tak perlu nak bergaduh dan mengamuk sepanjang masa. Tidak memberi apa-apa faedah langsung.

Disebabkan aku berfikiran begitu, dalam beberapa situasi, aku agak jarang nak mengamuk macam dulu-dulu. Pendek kata, telinga dah tebal. Otak dah sebal.

Beberapa tahun lepas, aku ada memberi satu komen di Facebook Group pada pos orang kampung aku, aku bagi nama Rizal, bukan nama sebenar. Aku sudah lupa topik asal post tersebut tapi komen aku menyebabkan si Rizal agak marah. Aku pun dah lupa apa aku komen dan aku pun ada niat nak buat dia marah. hehehehe.

Apa Rizal balas lebih kurang begini. "Dulu bapak kau urus kedai makan, maju. Bila bapak meninggal, anak-anak tak reti urus. bisnes lingkup." Betul. Bisnes makan keluarga aku agak kurang memberangsangkan sehingga hari ini. Tapi bukan sebab arwah bapak aku meninggal.

Bila aku baca komen balas si Rizal ini, aku ketawa sendiri. Serius. Aku memang ketawa. Sebab pertama, aku memang tahu dia marah. Walaupun komen bertulis dalam dalam Facebook, aku tahu dia marah, walaupun kalau kita tanya, dia tak akan mengaku. Dari komen guna fakta arwah bapak aku, itu marah la kan. Keduanya, maju atau jatuh pun bisnes keluarga aku, tidak ada orang luar tahu. Hanya kami dalam keluarga sahaja yang tahu. Bukan kami tak maklum kat orang luar tapi tak penting pun.

Maka, aku pun balas. "Engkau, nak buat aku marah, buat cara lain la. Aku tak marah kau komen macam ni. Kelakar ada la. Maka, sekarang aku bagi kau satu peluang, buat aku marah. Hehehehehe."

Apa yang terjadi selepas aku balas komen Rizal, dia memadam semua komen balas kepada aku. Masa itu aku rasa aku menang tanpa mengamuk. Aku tahu kelebihan aku selepas dia menggunakan nama arwah bapak aku untuk buat aku marah.

Ya. Siapa tak marah kalau nama bapak mereka dipermainkan apatah lagi kalau dah meninggal dunia. Di kampung aku ni, orang-orangnya akan mengamuk hanya kalau nama bapaknya dipermainkan atau dikaitkan. Aku pernah ada kawan, sanggup pergi rumah orang mengamuk sebab orang tu mengumpat emak dia.

Aku pula mengepos komen balas yang bersahaja bukan saja sebab hendak beritahu dia yang aku tak kisah apa dia cakap berkenaan keluarga dan arwah bapak aku, disebabkan posting itu public, semua komen boleh dibaca oleh orang lain juga. Maka, komen aku tidak menunjukkan aku merendahkan dia atau diri aku, tapi komen dia sendiri merendahkan maruahnya. Sebab itu dia padam komen dia selepas itu.

Tidak lama selepas itu, aku baru sedar Rizal memadamkan komennya mungkin dia malu dengan kenyataan balas aku tetapi juga kerana dia mempunyai kaitan dengan parti politik di kampung aku. Malu la kan orang politik direndahkan maruahnya. Masa itu, parti dia baru nak naik. Kena jaga beb.

Aku cerita rahsia aku tak marah. Ianya berlaku 22 tahun dahulu sebelum kejadian si Rizal ni. Arwah bapak aku membina kedai makan selepas bersara kerajaan dengan pencen yang amat rendah pada tahun 1990. Kami adik beradik 3 orang masih bersekolah. Pada tahun itu, aku berada di sekolah asrama. Perniagaan pada waktu itu amat kurang berjaya. Kita pun bukan pandai nak iklan macam zaman sekarang.

Dipendekkan cerita, kedai makan terpaksa ditutup pada pertengahan 1991 kerana menanggung hutang dari pembekal dalam RM4 ribu. Kalau zaman sekarang, RM4 ribu senang je nak bayar. Tapi arwah bapak aku memang tiada duit nak bayar dan pembekal tak mahu membekal barang untuk berjual. Aku mengetahui selepas aku balik dari asrama. Emak aku cakap, aku dan adik beradik akan diberhentikan sekolah selepas bapak tak mampu bayar yuran asrama dan sekolah. Aku sangat sedih sebab tahun itu aku akan ambil SRP. Tapi mak aku pesan, "Kau dan adik-adik semua sekolah. Biar mak cari duit. Tak kisah kerja apa, mak buat." Sambil teresak-esak mak aku menangis. Arwah bapak aku hilang dari rumah kerana depresi dengan masalah yang menimpa. Petang itu, aku balik semula ke asrama.

Aku tak pasti tapi beberapa minggu selepas itu, emak aku didatangi oleh guru besar bekas sekolah rendah aku belajar. Asalnya dia datang hendak makan di kedai tapi tutup. Dia datang ke rumah dan emak aku menceritakan segala masalah yang kami hadapi. Walaupun guru besar ini tiada pengalaman perniagaan tetapi dia telah memberi nasihat yang amat berguna kepada emak aku.

Pertama, dia paksa emak aku buka semula kedai tersebut kerana makanan mak aku sedap. Tinggal lagi pelanggan tidak ramai. Kena bersabar. Keduanya, mulai hari itu, segala urusan kewangan emak aku uruskan dan perlu dibahagi 3. Ini aku perlu rahsiakan sebab bahagi 3. Tak penting orang lain tahu pun. Selepas arwah bapak aku kembali, kedai makan kami dibuka semula. Adik aku pun lebih banyak membantu dan diberi kepercayaan dalam mengurus kedai. Bayangkan, umur 12 tahun dah pegang duit ratus-ratus. Makan di kantin sekolah pun beli makanan cikgu hehehehehe. Kesimpulannya, yang banyak menguruskan kedai itu adalah emak dan adik aku. Arwah bapak aku pun kesihatannya makin merosot dan tidak boleh berada lama di kedai.

Lama-kelamaan, dalam masa 3 tahun, kedai mula menunjukkan tanda-tanda perubahan. Orang kampung kata maju, tapi kami tak pernah claim kedai kami maju. Sebab segala duit untung cukup kami nak pergi sekolah, makan tanpa fikir esok tak makan dan boleh bergerak ke mana-mana tanpa risau. Sampai sekarang aku rasa faktor kedai itu mampu menanggung kami satu keluarga sebab Tuhan yang jaga kami. Ada beberapa perkara berlaku yang kalau orang lain yang berniaga akan lingkup tapi kami tidak. Kami amat bersyukur dilindungi dan dapat bertahan sehingga hari ini.

Kedai kami agak kurang maju sekarang ini bukanlah kerana arwah bapak aku meninggal. Keadaan ini berlaku pun selepas 4 tahun dia pergi meninggalkan kami. Adalah faktor-faktor yang kami tahu, tapi aku tak nak la cerita kat sini. Tak penting pun.

Berbalik pada cerita si Rizal ini, aku telah mengambil masa setahun untuk mengadu pada emak aku pasal komen si Rizal. Selepas aku cerita, emak aku ketawa terbahak-bahak sambil berkata, "Dia tengok kedai kita ni, macam dia tahu semua hal dalam keluarga kita ke? Aduhai. Pelik sungguh manusia ni Hehehehehe." Kecuali adik aku. Dia sedikit marah tapi lepas tu dia cool je. Rupanya adik aku dah baca dulu pasal pos Facebook tu dan dia ajak si Rizal ni minum, tapi dia lari hehehehe.

Aku memang dah ajar diri aku supaya tidak marah. Tetapi aku perlu satu kelebihan lain untuk mengatasi masalah marah ini. Dan aku perlu sabar dan selalu ingat, kalau kita mengamuk, kita akan memburukan lagi keadaan. Kalau kejadian akan menjadi buruk, kita jangan jadi puncanya.

Maka, aku sudah beritahu rahsia aku. Aku tak rasa vulnerable memberitahu rahsia ini sebab aku masih ada rahsia lain yang majoriti orang lain tak mampu buat untuk jadi advantage.

p/s: Jangan buang masa kau untuk buat aku marah.