Friday, July 27, 2012

Kreativiti tanpa batasan.

Tak lama dulu, aku memperlihatkan beberapa projek yang aku buat menggunakan Arduino dan Raspberry Pi kepada seorang kawan.

Betapa seronoknya dia sebab dia juga mempunyai keinginan membuat dan mencipta sesuatu sebagai hobi.

Tetapi dengan alasan, dia sudah lama tidak buat projek dan terkenang masa lampau semasa dia berupaya melaungkan masa untuk projeknya. Berkemungkinan dalam masa terdekat, dia akan cuba cari masa untuk hobinya itu.

Aku jawap, "Engkau jangan berangan nak buat projek-projek ni sebab sebenarnya engkau tiada masa langsung. Kerja engkau yang berlambak, outstation sepanjang minggu termasuk hujung minggu dan berturut-turut menyebabkan engkau tiada masa terluang. Sebab itu, masa aku ditawarkan kerja yang engkau buat sekarang ini, aku berminat sangat tetapi aku terpaksa tolak. Nanti aku tiada cukup masa untuk hobi aku. Adakah engkau sanggup berhenti kerja?"

Beberapa hari lepas, seorang kawan yang lain bertanyakan berkenaan Raspberry Pi dan aku terangkan melalui website. Dia sangat berminat tetapi mempertikaikan betapa mat salleh kreatif mencari idea baru. Walhal, orang Islam suka berperang sahaja tanpa mencari idea canggih.

Dalam hati aku, jangan la dituduh disebabkan orang Islam itu suka berperang, idea kreatif mereka tiada. Amerika juga berperang. Kreativiti itu datang dalam diri. Bukan keadaan sekeliling mereka.

Walaupun begitu, orang Islam memang tiada daya untuk menjadi kreatif walaupun di waktu aman. Mana kan tidak, mereka hanya memikirkan apa yang perlu dilakukan sebelum mati esok hari.

Aku tidak tahu mana orang dapat quote Dato Nik Aziz, "Saya tidak bangga dengan pembangunan sebab negara komunis pun ada pembangunan. Tetapi saya lebih pentingkan apa yang perlu dijawab di dalam kubur nanti. (lebih kurang)"

Adakah betul Nik Aziz berkata begitu atau ada orang sengaja buat quote palsu sebab quote ini adalah pandangan yang amat lemah. Jika pendapat ini disampaikan oleh orang yang berpengaruh, sudah tentunya menjadi satu ikutan. Kalau pembangunan itu tidak penting, bagaimanakah survival agama Islam itu sendiri. Penyebaran dan survival agama Islam itu semua bergantung kepada kaedah penyampaian, pengaruh, perdangangan, ketamadunan, kecanggihan, kesucian zahir serta batin, contoh, kekuatan dan macam-macam lagi yang mana semuanya bergantung kepada pembangunan yang tidak akan berhenti.

Adakah dengan berdoa sahaja, Islam itu akan tersebar atau selamat dalam dunia yang penuh cabaran ini?

Bagaimana bersihnya Islam itu kalau masyarakat Islam itu tidak berupaya menghasilkan air bersih untuk kehidupan mereka?

Atau orang Islam itu kaya hanya dengan berdoa dan kekayaan itu boleh digunakan untuk perkembangan Islam? 

Mungkin juga ketahanan Islam itu bergantung kepada orang bukan Islam bila masa mereka mula mengeluarkan duit untuk membeli peralatan canggih untuk kehidupan mereka kerana tidak sempat untuk berfikiran kreatif.

No comments:

Post a Comment