Monday, July 30, 2012

Anwar Ibrahim & PR minta rakyat boikot Petron, pengusaha stesen minyak bumiputera resah.

Aku bukannya menyokong sangat politik dalam Malaysia. Apatah lagi, mengundi. Aku belum lagi berdaftar sebagai pengundi. Sebab aku tidak suka suasana politik Malaysia semenjak dulu. Walaupun begitu, aku tetap mengambil tahu sebab aku rakyat Malaysia. Walau apa terjadi kepada Malaysia, masih lagi memberi kesan kepada aku.

Aku terdetik menulis pasal tajuk di atas sebab aku merasakan boikot ini akan merugikan sebahagian pengusaha bumiputera dan akan menghapuskan beberapa peratus pegangan ekonomi bangsa melayu.

Bagi aku, DS Anwar Ibrahim sudah melampau. Sebahagian pengusaha stesen minyak Petron yang dulunya Esso dan Mobil dimiliki bumiputera? Adakah DS Anwar Ibrahim sedar?


Sebagai bumiputera dan berbangsa Melayu, kami amat berbangga jika mempunyai peluang memiliki sebuah stesen minyak. Tapi, apakan daya kami untuk memegang jenama terbesar di Malaysia seperti Petronas dan Shell. 

Hendak buka stesen minyak Petronas dan Shell, paling kurang perlu ada deposit RM500ribu bagi stesen kurang risiko. Mana nak cari duit sebanyak itu, bagi orang Melayu dari kelas pertengahan? Sebelum Exxon menjual bisnes hiliran ini kepada Petron, lebih 5 tahun dahulu, ada beberapa pengusaha Melayu telah ditawarkan untuk mengusaha stesen minyak dalam program usahawan. Mereka ini perlu meletakkan beberapa ribu sahaja sebagai deposit. Dan mereka ini dilatih dan dijanjikan untuk menjadi pengusaha penuh seperti orang lain tak lama selepas itu.

Selepas diambilalih oleh Petron, hanya dalam beberapa bulan semasa pengalihan syarikat, pengusaha bumiputera ini sekali lagi diberi peluang untuk menjadi pengusaha penuh tetapi dengan deposit yang tinggi. Paling kurang, perlu sediakan RM100ribu. Masih lagi rendah berbanding stesen minyak Petronas dan Shell. Tapi, bagi kami, amatlah susah untuk mencari RM100ribu. Aku sangat kasihan bagaimana isteri aku terpaksa refinance rumah bapanya untuk mendapatkan RM100ribu. Itu tak termasuk lagi duit operasi, kami terpaksa menggadai barang kemas dan membuat beberapa pinjaman persendirian di beberapa buah bank dengan kadar faedah yang tinggi.

Kawan-kawan lain juga menghadapi masalah yang sama. Sekurang-kurangnya kami ada rumah untuk digadai tetapi mereka tiada rumah. Nak pinjam saudara pun segan sebab mereka dah banyak meminjam dari saudara. Nak pinjam bank, tiada yang sanggup bagi pinjam sampai lebih RM100ribu.

Masih ingat lagi pada tahun lepas, aku dan isteri duduk dalam kereta berdepan bank RHB selama 4 jam untuk mendapatkan pinjaman kewangan segera. Semua orang tahu, betapa tingginya faedah yang dikenakan oleh bank ini. Kami duduk dalam kereta berkira-kira, adakah kami mampu melangsaikan hutang ini tanpa banyak masalah. Selepas yakin, baru kami menuju ke bank. Dengan hati yang berdebar, kami buat pinjaman itu. Dengan percaturan yang terbaik, kami dapat membayar hutang bulanan tanpa banyak masalah dan berdoa jangan ada pula masalah baru timbul yang boleh menggugat perniagaan isteri saya ini.

Masa itu, terdetik di hati, betapa susahnya untuk berjaya dalam perniagaan dan perit menghadapi masalah-masalah dalam perniagaan. Tapi, walau betapa susahnya kami berniaga, stesen minyak ini menjadi lambang kekuatan isteri berniaga dan akan menjadi contoh kepada anak kami yang baru lahir, supaya berusaha dalam hidup. Kami akan cuba kekal berniaga walaupun sudah beberapa kali isteri hampir menyerah. Rumah yang di-refinance perlu dibayar setiap bulan selama 25 tahun. Mana mungkin kami berhenti berniaga.

Adakah DS Anwar Ibrahim hendak menghapuskan ekonomi bangsanya sendiri yang bersusah-payah ini? Adakah Anwar Ibrahim mahu orang kaya sahaja yang berjaya dan kami dari kelas pertengahan tidak perlu mengubah nasib?


Bagaimana kami, bumiputera yang mempunyai kesedaran ekonomi tetapi tidak mempunyai modal yang cukup untuk berjaya? Adakah peluang kami kosong hanya kerana modal yang sedikit?

Kalau ada modal sekali pun, belum tentu kami ada peluang untuk mempunyai stesen Petronas. Dikhabarkan yang menunggu mendapatkan stesen Petronas saja ada lebih 200 pemohon setiap tahun. Tetapi malangnya, ada pemohon yang potong Q, jika mereka ada kuasa dan duit lebih. Bagi Dato dan Tan Sri pula, jika ada saja projek perumahan, siang-siang lagi sudah ada tempat untuk mendirikan stesen minyak. Bukan setakat 1 tetapi lebih dari 1 stesen.

Walau macam mana teruknya, peluang perniagaan ini dimonopoli, tetapi masih ada syarikat minyak yang memberi peluang kepada calon pengusaha melayu walaupun syarikat (Esso - Mobil) bukan syarikat Top 2.

Sebagai syarikat, suka hati dia la nak jual syarikat kepada siapa dia mahu. Walaupun BHP ingin membeli syarikat hiliran Exxon Mobil tetapi BHP tidak mahu memiliki loji penapis Port Dickson. Loji tu sudah uzur dan mungkin BHP tidak berupaya refurbish loji ini. Tetapi San Miguel (melalui Petron) sanggup mengambilnya.

Terfikir juga, adakah Petron mempunyai cukup modal? Pernah bersembang seorang pekerja ESSO MOBIL yang diserapkan ke Petron, tangga gaji mereka yang diserap 4 kali ganda lebih tinggi dari pekerja di Filipina.

Semasa perancangan pembelian Esso Mobil kepada Petron, beberapa pekerja tempatan beragama Islam berasa was-was untuk bekerja di syarikat berunsur arak (San Miguel Corp). Tetapi mereka dijanjikan operasi perniagaan di Malaysia akan mengikut lunas-lunas syariah compliance.

Diberitakan juga akhbar-akhbar, selepas pengambilan syarikat, Petron cuba membuat pinjaman kewangan dalam RM dari beberapa buah bank tempatan.

Semasa pengalihan sistem IT (dari network Exxon ke network Petron) beberapa bulan lepas (kalau anda semua masih ingat semasa kebanyakkan stesen minyak ESSO - MOBIL kehabisan minyak di Lembah Klang), sebuah kapalterbang Airbus A380 dari negara Arab (tak pasti negara apa), telah mendarat di KLIA. Syarikat penerbangan (tidak pasti syarikat apa) telah meminta Esso - Mobil mengisi minyak kapalterbang tersebut di waktu pengalihan kritikal. Pekerja Esso - Mobil di KLIA telah berusaha dari malam sehingga awal pagi untuk memulihkan sistem IT supaya sistem dapat menyalurkan minyak ke kapalterbang tersebut. Mereka berjaya mengisi minyak tepat pada masanya. Mungkin ini menjadi benchmark untuk Petron mendapat kontrak pembekalan minyak kepada MAS.

Saya hendak tahu juga, kalau Petronas atau BHP berupaya mengisi minyak dalam waktu pengalihan kritikal? Baru ubah sistem SAP dalaman pun, hampir seminggu staff mereka tak boleh bekerja dengan sempurna.

Dari sumber yang boleh dipercayai, kejayaan Petron mendapat kontrak pembekalan minyak Airbus A380 adalah usaha keras kakitangannya. Mungkin juga tanpa usaha keras, Petron akan dapat juga kontrak ini. Mana kan tidak reputasi MAS sebagai syarikat bad payer diketahui ramai orang. Hutang berlambak. Sudah tentunya lambat membayar hutang. Tender ditawarkan bukan sahaja pada Petron tetapi juga Shell dan Petronas. Disebabkan reputasi MAS yang buruk ini, Shell dan Petronas mahu, tidak mahu terpaksa menghantar tawarannya tetapi dengan harga yang tinggi bagi mengimbangi reputasi MAS yang lambat bayar hutang ini.

Petron dalam pada itu sebuah syarikat baru sudah tentunya cuba menongkah arus. Bukan sahaja menawarkan harga yang rendah tetapi juga menawarkan pemberian minyak percuma bagi perjalanan pertama KL-London baru-baru ini. Memang betul, percuma. Bukan dipaksa oleh MAS tetapi untuk memenangi kontrak selama 6 bulan ini.

6 bulan dan bukan 6 tahun. Tempoh yang amat pendek. Kenapa pula kontrak pembekalan ini menjadi isu? Anwar dan PR merasakan jika Petron tidak diboikot, kemungkinan kontrak ini akan disambung untuk 6 bulan lagi.

Mungkin juga Petron tidak akan menyambung kontrak selepas tamat tempoh 6 tahun sebab hutang minyak tak bayar lagi. Maka, kenapa perlu prejudis dengan kontrak yang tak tentu ini?

Ini strategi dan politik perniagaan yang bagi sesetengah orang yang tidak tahu pasal perniagaan akan menerima bulat-bulat pandangan orang politik. Contohnya, jika Petron cuba mempertahankan diri sudah tentu rahsia kontrak Petron dan sebab MAS tidak menerima 2 tawaran syarikat lain akan diketahui orang ramai. Ini sudah tentunya menyalahi etika perniagaan. Orang politik sudah tentunya tahu pasal etika ini.

Walau bagaimana teruknya Petron yang digambarkan sebagai syarikat kroni, ada unsur arak dan monopoli, sekurang-kurangnya kami melayu kelas pertengahan diberi peluang yang tidak pernah diberi oleh syarikat tempatan. Sebagai ahli politik yang ingin memboikot Petron, apa langkah anda untuk menyelamatkan kami daripada unsur-unsur di atas? Selamatkan kami, selamatkan ekonomi bumiputera atau menghapus sedikit pegangan bumiputera dalam ekonomi Malaysia. Kalau kami berhenti pada hari ini, adakah kerja untuk kami pada esok hari? Yang paling penting, anak saya nak makan apa esok pagi?

Jika Exxon diberi pilihan untuk menjual anak syarikatnya kepada Petron atau BHL, dengan keadaan politik yang suka mencari salah, saya rasa, apa-apa keputusan Exxon akan menjadi modal politik. Jika BHL dipilih, sudah tentunya BHL mempunyai kaitan Beaustead, berkait pula dengan LTAL (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), dan berkait juga dengan PM kita yang pernah menerajui Kementerian Pertahanan. Jual kepada Petron salah. Jual kepada BHL pun salah. Maka, kepada siapa perlu mereka pilih?

Dikatakan kebanyakkan ESSO dimiliki oleh bumiputera (ada kata 90%) dan Mobil pula dimiliki oleh bukan bumiputera. Penggabungan dalam Exxon memberi peluang yang nampak adil.

Maka, boikot ini, sesungguhnya,  bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha Melayu tetapi juga pengusaha bukan Melayu yang sekarang ini, Petron mempunyai lebih 580 stesen minyak.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/13/pkr-man-calls-for-petron-boycott/

Boikot ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha bumiputera tetapi juga bukan bumiputera. Ini masalah boikot multinational. Secara keseluruhan kesan boikot kepada pengusaha bukan bumiputera hanya dari segi peluang pekerjaan perniagaan. Tidak memberi kesan kepada peratusan pegangan perniagaan keseluruhan mengikut bangsa di Malaysia sebab peratusan mereka masih tinggi. Tetapi, bagi bumiputera, bukan sahaja memberi kesan kepada peluang pekerjaan perniagaan tetapi juga peratusan pegangan ekonomi akan rendah lagi dari paras yang memang sudah rendah.

Adakah PR bumiputera sanggup peratusan pegangan ekonomi kita diperjudikan untuk kemenangan anda?

1 comment:

  1. saya memang setuju sangat... yg plg tak masuk akal objektif boikot adalah kerana sumber kekayaan VVIP yg menjadi kegemaran peribadi beliau.. amatlah selfish..

    tahniah saya ucapkan pada tuan atas segala usaha tuan.. doakan saya dapat menjadi seperti tuan.. cekal berusaha.. inshaAllah .. amiin..

    ReplyDelete