Wednesday, August 10, 2016

Jangan salahkan di atas, kalau di bawah pun tak betul.

Cerita ni terlalu panjang nak dicerita. Tapi aku bagi cerita pendek dan bagi pencerahan apa yang kelakar.

Selepas berdekad-dekad, tanah pusaka atok aku hendak diselesaikan. Bila nak diselesaikan secara faraid, ada yang cadang pada hakim, 210 nama diletakkan dalam semua geran tanah yang ada. Hakim tolak sebab sukar dibuat.

Maka, mereka cadangkan untuk tubuhkan koperasi dan meletakkan nama koperasi di atas semua geran. Keuntungan koperasi ini akan diagih mengikut keputusan faraid.

Di sini, aku dah nampak ada benda yang tak betul. Macam mana nanti kalau orang tak memiliki saham boleh mendapat untung? Bagaimana pula orang yang membeli saham koperasi? Bagaimana orang yang nak menambah saham? Adakah mereka terikat dengan pembahagian mengikut faraid? Aku tak boleh nak tanya sebab dah kena marah pasal isu lain. Aku biarkan dahulu persoalan ini.

Tetapi bebaru ni, saudara-saudara aku mengumumkan bahawa mereka berjaya membuka akaun bank untuk kumpulan waris kami. Aku rasa pelik, bagaimana akaun ini boleh dibuka atas nama persatuan yang masih tidak berdaftar dengan ROC? Tapi yang aku tahu akaun ini dibuka oleh seorang saudara aku yang bekerja sebagai pengurus di salah sebuah bank. Dengan alasan, dia membuka akaun ini untuk "memendekkan cara". Aku sedar, cara ini salah. Selepas Bank Negara menetapkan beberapa syarat dan peraturan baru bagi mengekang pembersihan duit haram dan akaun digunakan untuk terroris, sepatutnya dia sedar akan perkara ini. Walaupun bukan sebab jenayah, membuka akaun bank dengan dokumen pengenalan tidak sah adalah tetap salah.

Maka, kami akan membuka satu majlis perjumpaan keluarga. Semua yang hadir diminta untuk memasukan wang kemasukan dalam akaun ini. Tapi masing-masing tidak berjaya memasukan dalam akaun ini termasuk aku. Aku cakap dalam group waris, bila masukkan nombor akaun di mesin tunai, ada peringatan, "akaun yang dipilih tidak dijumpai.". Terus kecoh.

Aku tahu, akaun itu telah dibekukan, agaknya. Hehehehe. Ntah berapa ribu la yang beku kat dalam tu.

Sampai la seorang saudara aku, bagi warning.

"Jangan dipertikai di mana akaun ini dibuka dan apa terjadi kepada akaun ini. AJK telah bersusah payah untuk membangunkan "persatuan" ini dan patut dihargai. Jangan menyusahkan orang lain."

Sungguh klasik peringatan ini. Berlaku dalam kehidupan orang Melayu dan politik.

Bila tersepit, bila dipertikai yang benar dan macam-macam lagi, melayu cuba mengugut bangsanya sendiri.